Wednesday, March 11, 2009

SERAPUH RANTING YANG REPUT......

25hb. Februari, 2009


Abg Aim meninggal.

SMS ringkas dari Ogy. Aku agak terperanjat kerana tidak pasti Abg Aim yang mana. Terus aku menelepon untuk kepastian Abg Aim yang mana (aku mempunyai sekurang-kurangnya 4 Aim dalam keluarga besar ku). Jawapannya - Abg Aim Makcik Munah. Sakit apa? Tak tau lah pulak.

Nama penuh Allahyarham ialah Abdul Rahim bin Abd Latiff. Nama panggilan Aim (A-Im). Umur 48 tahun. Kawan sepermainan ku sewaktu kecil. Rumah ibunya seperti rumah aku juga. Aku sering makan dan tidur di rumahnya. Kini dia tiada lagi di dunia ini. Dia mendahului kami semua.

Aku terus meminta kebenaran untuk meninggalkan pejabat dan pulang ke Melaka.

Terbayang di ruang mataku bahawa sekali lagi aku akan ke JALAN DURIAN DAUN untuk menghantar satu lagi insan yang mendahului aku dan akan menjadi terus penghuninya sehingga Hari Kiamat kelak.

Aku kemudian menelefon adik Allahyarham, Alias dan mendapat khabar yang Allahyarham meninggal kerana terlibat dalam satu kemalangan jalanraya sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja. Allahyarham adalah staf Tenaga Nasional Berhad. Aku turunkan apa yang telah diberitahu oleh Alias (Yak) tentang apa yang berlaku sebelumnya (dalam bahasa orang Melaka).

“Dia keluau rumah dalam pukul 8.00 pagi. Dalam pada dia nak keluau tu, dia menoleh belakang. Aku ternampak dan aku tanya dia :

Yak : Hah, apa hal?

Abg Aim : Zing tu bocor air masuk (sambil menunjuk ke arah bumbung rumah)

Yak : Hah, ok lah nanti aku repairlah

Dia pun terus keluau.

Dalam 15 minit lepas tu aku dapat telepon yang dia dah jatuh moto kena langgar van betol-betol kat depan pintu masuk Hospital Melaka. Lepas dia jato tu, satu keta tak sempat elak terus tergelek atas dada dia. Sababnya lah tu…..pasal biasenya dia ikut Jalan Durian Daun Dalam tapi hari ini pulak dia ikut Jalan Mata Kuching…..”

Bayangkanlah betapa rapuhnya nyawa kita sebagai hamba Allah di dunia ini. Dalam masa yang sekejap nyawa yang dipinjamkan pada kita Allah ambil semula tanpa notis malah tanda. Kalau dulu-dulu biasanya orang nak meninggal dia akan berkelakuan aneh dan kita akan gelarkan ia sebagai “buang tebiat”. Tapi sebenarnya tak ada tanda pun kita boleh mati atau pun sememangnya kita telah menjadi buta dan tak perasan tanda-tanda itu. Wallahualam.

Aku sampai sejurus selepas jenazah Allahyarham Abg Aim sampai dari Hospital Melaka selepas dibedah siasat, dimandi dan dikafankan. Suasana murung dan sedih walau pun cuaca agak panas terik. Ibunya tidak bertenaga untuk berdiri kerana terperanjat akan pemergian yang tiba-tiba ini tapi aku dapat rasakan beliau agak redha dengan ketentuan Allah SWT dalam mentadbir alam yang fana ini. Kalimah dan Istighfar keluar dari mulutnya berulang kali.

Adik beradik dan saudara dekat Allahyarham mengambil giliran memberi ciuman terakhir untuk Allahyarham sebelum jenazahnya diusung ke Masjid Pengkalan Rama untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke JALAN DURIAN DAUN yang sebenarnya bertentangan dengan rumah Allahyarham dengan jarak yang hanya sepelaung. Dekat betul jaraknya tempat persemadian Allahyarham tapi tidak ada apa-apa kuasa pun di dunia ini yang boleh mengembalikannya semula. Beliau akan tinggal di tempat yang di panggil Alam Barzakh. Apa rupanya alam itu Wallahualam tapi yang pasti itu adalah tempat persinggahan sebelum Sangkala pertama dan kedua ditiup Malaikat Israfil untuk memusnahkan alam ini yang dipanggil Hari Kiamat. Semua makhluk yang diciptakan Allah SWT akan mati seperti firmanNya “Setiap yang hidup akan merasai mati”. Malaikat Izrail pun akan mati malah akan mencabut nyawanya sendiri dengan perintah Allah setelah semua makhluk lain mati – dia adalah makhluk ciptaan Allah SWT terakhir yang akan mati. Yang Maha Hidup hanya Allah SWT jua. Maha Hidup untuk selama-lamanya. Tiada permulaan dan tiada pengakhiran. Setelah itu Allah SWT akan membangkitkan semua manusia dari zaman Nabi Adam A.S. sehingga umat Nabi Muhammad SAW. Maka bermulalah era kehidupan baru yang dimulakan dengan Hari Pengadilan Allah SWT yang mana semua umatnya akan diadili dengan seadil-adilnya. Balasan yang setimpal juga pasti selepas itu.

Dah banyak aku keluar dari tajuk tapi ianya bukan cakap-cakap kosong. Sekurang-kurangnya ia satu peringatan pada diri aku sendiri.

Aku juga mengambil kesempatan untuk memberi kucupan terakhir ku kepada Allahyarham.

Jenazahnya diusung ke masjid dan solat jenazah dilakukan selepas sahaja Solat Zohor kami sempurnakan. Alhamdulillah, semuanya aman dan baik.

Sekejap kemudian kami dan jenazah tiba JALAN DURIAN DAUN. Tugas keempat iaitu mengebumikan yang mati terus sahaja dilakukan dan tidak berapa lama kemudian batu tanda kepala dan kaki kubur Allahyarham Abg Aim pun dicacakkan.

Bacaan Talkin untuk pendenganran, pengajaran dan peringatan yang hidup dan hadir di kubur pun dibacakan.

Tempat persemadian Allahyarham Abg Aim dekat sekali dengan tempat persemadian semua kaum keluarga aku. Aku sempat mengerling ke arah itu dan terdetik di hati ku, bila dan siapa pula selepas ini…..?

Selepas menghadiahkan Al-Fatehah, aku meninggalkan kuburnya.

Selamat tinggal Abg Aim. Doa kami semoga kamu berbahagia di dalam kubur mu. Semoga kubur mu adalah salah satu dari taman syurga. Insya’Allah.

Memanglah hidup ini lebih rapuh dari ranting kayu yang telah reput.......

“Mati adalah benar”
“Soal kubur adalah benar”
“Hari Kiamat adalah benar”
“Hari Mahsyar adalah juga benar”
“Nikmat Syurga adalah benar”
“Azab Neraka juga adalah benar”

Kenapa ramai yang terus mahu memilih untuk mencuba "kebenaran dan kesahihan" rangkap yang terakhir itu…..? Nauzubillah....

Ya Allah, Kau rahmatilah aku, sempurnakanlah iman ku, keluarga ku, sanak saudara ku, sahabat handai ku dan semua umat islam yang lain. Amin.

Al-Fatehah untuk Allahyarham Abg Aim. Amin.